Nostalgia : Nahas helikopter di Kuala Lipis

Gambaran daripada udara tempat nahas helikopter di kebun getah di Kampung Atong, Kuala Lipis, Pahang.

Nahas helikopter di hutan Kuala Lipis korbankan tokoh korporat bekas pengerusi DRB-HICOM, isteri dan juruterbang.

MAC lepas, genap 14 tahun negara kehilangan tokoh korporat yang juga Pengerusi Kumpulan DRB Hicom, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad yang terbabit dalam nahas helikopter terhempas di Kampung Atong, Jerangsang, Kuala Lipis, Pahang.

Secara kebetulan, kejadian itu berlaku pada tarikh 3.3.1997 yang dianggap sebagai 'Triple Three Tragedy' kerana membabitkan tiga angka tiga, iaitu berlaku pada hari ketiga di bulan tiga dan mengorbankan tiga nyawa.

Selain Yahaya, dua lagi mangsa ialah isterinya, Puan Sri Rohana Othman, 49, dan juruterbang, Mejar (B) Azlizan Abdul Manas, 32.

Helikopter Agusta A109E Power milik Gadek Aviation Services Sdn Bhd, anak syarikat DRB-Hicom, dilaporkan hilang pada skrin radar dan terputus hubungan pada jam 11.15 malam ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu, Terengganu.

Yahaya dan isteri dikatakan ingin pulang ke kampung halaman untuk menziarahi ibunya yang sakit, tetapi malang umurnya tidak panjang kerana dijemput Ilahi ketika dalam perjalanan pulang.

Pasukan penyiasat menjalankan siasatan di kawasan nahas.

Beliau yang juga Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, kali terakhir dilihat menghadiri majlis makan malam anjuran Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada malam sebelum nahas.

Ketika dalam penerbangan, enjin pesawat malang itu dikatakan tidak berfungsi secara normal mengakibatkan kipas utama kehilangan kuasa dan berputar secara tidak seimbang lalu mengakibatkan tekanan terhadap struktur kipas.

Ketidakseimbangan ini menyebabkan kipas itu patah dan siasatan mendapati kipas utama helikopter patah sebelum pesawat terhempas. Tiga daripada kipas ditemui di tiga tempat berasingan, manakala satu bahagian lagi ditemui penduduk kampung beberapa hari kemudian.

Berdasarkan keadaan di tempat kejadian, helikopter itu dipercayai jatuh terhempas tanpa kipas utama kerana tidak ada kesan libasan kipas pada pokok sekitar kawasan kemalangan.

Jenazah mangsa dibawa untuk pengkebumian.
Sebaik saja helikopter itu terputus hubungan dengan menara kawalan, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan. Berdasarkan maklumat beberapa penduduk kampung berhampiran dikatakan mendengar dua letupan, iaitu sekali di udara dan sekali lagi di tempat pesawat itu menjunam.

Helikopter buatan Itali, Agusta A 109E, dengan nombor pendaftaran 9M-DRB dikatakan jatuh menjunam dan berkecai bertaburan di kawasan kebun getah.

Ketika anggota polis tiba di tempat kejadian, bangkai helikopter itu masih terbakar dan ada serpihan ekor yang tertulis perkataan DRB.

Kira-kira 20 anggota polis, lima pegawai, diketuai Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Mahmud Embi, menjalankan gerakan mencari mangsa di kawasan lingkungan 50 meter dari tempat kejadian, tetapi gagal menemui mayat berkenaan.

Gerakan yang turut dibantu kira-kira 10 anggota bomba dan penduduk kampung diteruskan hingga mayat ketiga-tiga mangsa ditemui pada jam 1 pagi di bawah serpihan helikopter itu.

Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di bawah cebisan bangkai helikopter itu, kira-kira dua jam selepas pesawat terhempas dengan jarak yang tidak berjauhan antara satu sama lain. Pasukan mencari dan menyelamat juga menemui sebelah kasut wanita dan sebuah beg tangan.

Semua mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Kuala Lipis, kira-kira jam 5.20 pagi untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Marang, Terengganu. Jenazah kemudian diterbangkan dengan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 9.45 pagi ke Hospital Kuala Terengganu dan dikebumikan.

Di tempat kejadian, pasukan pencari serpihan dan barangan nahas menjumpai dua beg dipercayai milik tokoh korporat itu dan isterinya. Kedua-dua beg dijumpai di kawasan bukit kira-kira 300 meter dari tempat tragedi pada jam 1.30 tengah hari pada hari keempat nahas.

Pada hari ke-12 selepas nahas, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menemui bilah rotor terakhir helikopter. Sebelum itu, satu daripada kipas helikopter dijumpai kira-kira satu kilometer dari bangkai pesawat, manakala tiga lagi dijumpai antara 200 hingga 300 meter dari situ.

Sebelum kejadian, Yahaya adalah antara tokoh perniagaan Asean yang diundang menghadiri `Sidang Kemuncak Perniagaan Asean' pertama di Jakarta, Indonesia yang dijangka diadakan seminggu selepas tarikh nahas.

Pada 3 Mac 2001, Mahkamah Koroner memutuskan tiada sebarang unsur niat jahat, perancangan atau sabotaj oleh mana-mana pihak dalam nahas helikopter itu dan tidak dapat menentukan punca sebenar menyebabkan kemalangan.

Inkues selama 32 hari itu bertujuan menentukan punca tragedi, sebab kematian mereka bertiga, dan sama ada kematian dan nahas itu disebabkan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang atau khianat.


Kronologi kejadian:

10.45 malam - Helikopter Agusta A 109E milik Gadek Aviation Helicopter Sdn Bhd berlepas dari pangkalan helikopter di Segambut, Kuala Lumpur. Pesawat itu dijadualkan tiba di Kuala Terengganu jam 11.52 malam.

11.07 malam - Pada kedudukan 49 batu nautika ke arah 039 darjah magnetik, helikopter itu kelihatan berpusing sedikit ke kanan.

11.11 malam - Helikopter itu kelihatan mengarah 090 darjah dari kedudukannya yang lalu.

11.15 malam - Pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan Subang dan hilang dari skrin radar. Pusat Kawalan Udara dimaklumkan mengenai keadaan itu.

11.25 malam - Polis Pahang menerima laporan mengenai kemalangan pesawat Agusta-109 itu yang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Atong di Jerangsang, Benta, 41 kilometer dari Kuala Lipis.

Gerakan mencari dimulakan.

12.05 tengah malam - Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis dimaklumkan polis mengenai nahas itu dan bergegas ke tempat kejadian.

1 pagi - Mayat mangsa dan bangkai pesawat ditemui. Semua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis.

9.52 pagi - Semua mayat diterbangkan dengan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Hospital Kuala Terengganu untuk pemeriksaan forensik.

10.50 pagi - Semua jenazah tiba di Hospital Kuala Terengganu.

2.05 petang - Jenazah Mejar (B) Azlizan dibawa ke padang Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu untuk diterbangkan dengan helikopter Nuri ke kampungnya di Batu Pahat untuk pengebumian.

2.30 petang - Jenazah Yahaya dan isteri dihantar ke rumahnya di Marang dengan kenderaan jenazah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk pengebumian.

1 comment:

tie said...

terimakasih kerana memaparkan nostalgia : Nahas Helikopter di Kuala Lipis....

saya mengenali juruterbang yang terlibat kerana beliau adalah abang angkat saya yang telah saya kenali semenjak beliau berada di tingkatan 5 dan menuntut di sekolah tinggi batu pahat.

terima kasih sekali lagi....