Nostalgia : Misteri Pesawat Dakota

Sepucuk surat yang dikirim oleh waris Geoffrey Clarence Carpenter kepada Kolonel Mohd. Tajri telah membongkar misteri pesawat DC-3 Dakota yang terhempas dan bersemadi di tengah-tengah hutan tebal, di Gua Musang, Kelantan, enam dekad lalu.


Penerbangan pada 25 Ogos 1950 itu sama seperti misi serupa yang pernah dilaksanakan sebelumnya oleh krew pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630) Tentera Udara Diraja Britain (RAF).

Sejak beberapa minggu lalu, hutan tebal Gua Musang menjadi lokasi utama krew Nombor 52 Skuadron RAF ini. Mereka ditugaskan mengesan kedudukan gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang kuat bertapak di situ.

Melalui kokpit hadapan, juruterbangnya, Leftenan Udara Edward Robert Talbot, RAF melihat paparan meter serta paras ketinggian pesawat yang dibantu jurumalim, Sarjan (Udara) Geoffrey Clarence Carpenter.

Seorang lagi krew pesawat Dakota KN630 ini ialah jurusemboyan, Sarjan Udara Thomas O'Toole, RAF.

Anggota tentera menggali tanah untuk mencari tulang mangsa nahas pesawat.
Turut serta dalam penerbangan hari itu ialah pegawai Loyal Regiment, Mejar JH Proctor yang ditumpangkan bersama Batalion Kedua Askar Melayu, selain empat anggota Royal Air Service Corp (juga tentera British) yang mengendalikan kargo pesawat, seorang pegawai kerajaan Kelantan berbangsa Inggeris dan tiga rakyat tempatan.

Misi Dakota KN630 hari itu ialah untuk menggugurkan smoke marker.

Ia bagi membantu operasi pengeboman ke atas lokasi komunis yang dikenal pasti oleh lapan pesawat pengebom Lincoln Bombers yang terbang tidak jauh dari situ.

Malangnya, pesawat ini terputus hubungan dengan menara kawalan. Ia dipercayai terhempas di Mukim Galas di tengah-tengah hutan tebal Gua Musang.

Rahang tulang gigi.
Tinjauan udara oleh pesawat RAF kemudian mengenal pasti lokasi pesawat terhempas sebelum mengerahkan sepasukan anggota tentera ke kawasan tersebut.

Namun, mereka hanya berjaya mengesan lokasi nahas sembilan hari kemudian. Atas faktor keselamatan dan kesukaran membawa mangsa keluar, kesemua yang terkorban dikebumikan di sebuah lokasi berhampiran bangkai pesawat terhempas.

Itu cerita 60 tahun dulu. Tetapi, bagi waris salah seorang krew pesawat ini, Dennis Carpenter, 78, berita kehilangan abangya, Sarjan (Udara) Geoffrey Clarence Carpenter masih misteri. Biarpun keluarganya diberitahu keluarga mereka terkorban, tetapi nalurinya tetap ingin tahu di mana lokasi sebenar jasad abangnya disemadikan.

Setelah beberapa kali berusaha, akhirnya sepucuk surat beliau yang dialamatkan kepada Atase Pertahanan Malaysia di Britain, Kolonel Mohd. Tajri Alwi dibalas.

Ramli Abdullah mengetuai bacaan doa sebelum memulakan penyelidikan ke atas pesawat British Royal Air Force.

Walaupun jawapan yang diterima ringkas, tetapi kesediaan Mohd. Tajri membantu mengesan kedudukan pesawat malang tersebut terhempas cukup menggembirakan beliau.

Dennis kini menetap di Croyden dekat selatan London. Dalam suratnya, Carpenter turut menyertakan koordinat dan lokasi pesawat itu dipercayai terhempas.
Semuanya berdasarkan maklumat yang diperolehnya daripada RAF dan penyelidik perang di sana.

Mohd. Tajri kemudian memanjangkan perkara tersebut kepada Kementerian Pertahanan (Kementah) sebelum mengarahkan Markas Briged Ke-8 Infantri Kem Pengkalan Chepa melakukan pencarian tersebut.

Bagaimanapun, kedudukan hutan tebal Gua Musang menyukarkan kerja-kerja untuk menjejaki kedudukan pesawat tersebut.



Kapten Zuraiman Abd Ghani membawa bekas berisi cebisan tulang penumpang pesawat Tentera Udara Diraja British.

Berpandukan maklumat yang terhad itu, anggota Briged Ke-8 melakukan tiga misi.

Mereka berjaya menemui lokasi sebenar bangkai pesawat pengangkut yang berjaya kira-kira tiga kilometer dari Kampung Penchong. Untuk ke sana, ia mengambil masa lima jam perjalanan dari bandar Gua Musang.

Menurut Panglimanya, Brigedier Jeneral Azizan Md. Delin, pencarian pertama dilakukan pada bulan Jun lalu, tetapi gagal.

"Atase Pertahanan Malaysia di Britain melalui Markas Tentera Darat (Mk TD) meminta briged ini membantu mendapatkan fakta tepat mengenai lokasi dan tanah perkuburan krew pesawat itu. Mereka menjumpainya pada 19 Jun.

Pasukan mencari seramai 15 anggota diketuai Kapten Muhamad Isa Hassan itu dibantu dua jurupandu Orang Asli tempatan dan dua anggota Kor Risik menggunakan tiga kenderaan pacuan empat roda.

Kasut antara barang yang ditemui.

"Bagaimanapun, lokasi kemalangan yang terletak jauh di tengah-tengah belantara Mukim Galas yang sukar dilalui dengan kenderaan, selain terdedah kepada ancaman binatang buas menyukarkan usaha tersebut," ujarnya.

Menurut Azizan, pasukan pencari terpaksa berjalan kaki kira-kira dua jam untuk sampai ke satu kawasan kaki bukit. Ia berdekatan sebatang anak sungai di mana pesawat Douglas DC-3 Dakota itu dipercayai terhempas.

Hasil penemuan tersebut, Panglima TD, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin telah mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Britain, Jeneral Sir Richard Dannat. Beliau menyatakan kesediaan dan komitmen untuk memberikan kerjasama kepada kerajaan British.

Dua tinjauan susulan telah dilakukan Muzium TD iaitu pada 15 hingga 19 September dengan diiringi oleh wakil Markas 8 Briged, manakala tinjauan kedua pada 15 hingga 19 Oktober disertai pihak Polis Diraja Malaysia dari Bukit Aman dan Muzium PDRM.

Semasa tinjauan kedua, pihak Muzium TD telah melaksanakan kerja-kerja 'pengesanan tapak' menggunakan peralatan electromagnetic surveyer.


Ia bertujuan mengesahkan kewujudan rangka manusia di kawasan yang dikenal pasti. Namun berkemungkinan disebabkan faktor tulang yang telah rapuh dan terurai, kesan tindak balas magnetik amat lemah.

Hasilnya, Markas TD kemudian memutuskan agar misi evakuasi bangkai pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630) RAF ini dilaksanakan sepenuhnya. Diberi nama Ekspedisi Garis Waktu KN 630, ia diketuai oleh pihak Muzium TD. Tujuannya untuk membawa keluar rangka manusia dan beberapa peralatan penting pesawat dari lokasi nahas.

Ekspedisi ini juga mendapat kerjasama dan gabungan kepakaran pelbagai unit-unit TD, khasnya Markas 8 Briged, polis, wakil kerajaan Britain dan pakar-pakar forensik Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian. Turut serta dalam misi yang bermula 2 hingga 12 November itu ialah kakitangan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Jabatan Perhutanan serta penyelidik daripada Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG).


Penggalian dua kawasan busut yang dipercayai krew pesawat malang itu ditanam berjaya menemui beberapa tinggalan tulang-temulang manusia.

Ini termasuklah cebisan pakaian seragam dan kasut.

Proses evakuasi berjaya diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Pada 12 November, rangka kru pesawat malang Dakota (KN630) RAF berjaya dibawa keluar setelah 58 tahun bersemadi di hutan Gua Musang.

Setelah melalui perjalanan selama 10 jam, kesemua rangka seperti cebisan tengkorak dan tulang yang diisi di dalam 12 bungkusan plastik kecil tiba di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan pada pukul 9.30 malam bagi proses ujian DNA.

Pasukan evakuasi Markas Tentera Darat (TD) yang diketuai Muzium TD itu terpaksa memilih jalan darat setelah helikopter Nuri tidak dapat mendarat di kawasan tersebut kerana faktor cuaca. Penyerahan kesemua rangka yang siap bertanda yang diisi di dalam kotak plastik kepada HUSM oleh Pengarah Muzium TD, Lt Kol Norhayati Mansor kepada Timbalan Pengarah HUSM, Dr. Mohd. Rosdi Abd. Rahman.


Menurut Mohd. Rosdi, dengan sampel yang ada, pihaknya dijangka memulakan ujian tersebut pada bila-bila masa sebelum memaklumkan hasilnya kepada pihak Muzium TD untuk tindakan seterusnya.

"Proses ujian DNA yang diketuai oleh Ketua Pasukan Forensik HUSM, Dr. Zafarina Zainuddin dijangka mengambil masa sebulan bagi mengenal pasti identiti krew pesawat Dakota RAF itu.

"Sejak 3 November lalu, beliau turut sama dengan pihak Tentera Darat dalam Ekspedisi Garis Waktu pesawat Dakota ini di Gua Musang," jelasnya.

Sementara itu, kenyataan daripada Markas TD memberitahu, kejayaan misi ini akan disusuli dengan beberapa pencarian serupa bertujuan untuk mendokumentasikan peristiwa bersejarah berkaitan ketenteraan tanah air.

"Bermula dengan pencarian pesawat pengebom B-24 Liberator di sempadan Malaysia - Thailand pada Julai 2008, misi pesawat Dakota KN630 ini merupakan misi ketiga Ekspedisi Garis Waktu.

"Pihak kita merekodkan 30 pesawat tentera yang dikenal pasti terhempas di Tanah Melayu sejak 1945 hingga 1951, antaranya lapan jenis Dakota termasuk sebuah terhempas di Serendah, Selangor," ujarnya.

Kumpulan penyelidik bebas ini bersatu untuk menjejak arkeologi ketenteraan dan relik perang.
Mengikut data yang direkodkan Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG), sebanyak lima kemalangan udara berlaku di Gua Musang, Kelantan semasa Darurat.
Ia membabitkan pelbagai jenis pesawat RAF. Dua daripadanya ialah pesawat jenis Valetta, dan selebihnya jenis Bristol Briggand, Dakota dan Auster AOP.

Bagaimana pun menurut penyelidiknya, Shahrom Ahmad, masih ada lagi sejumlah kemalangan udara yang dimaklumkan secara lisan tetapi belum dapat disahkan kerana kekurangan maklumat.

Menurut Shahrom, pihaknya telah lama mengumpul data mengenai pesawat malang Dakota KN630 RAF itu. Ini termasuklah krunya sebagai satu proses biasa dalam usaha mengenal pasti kedudukan ia dipercayai terhempas.

"Bagaimanapun kami bukannya penyelidik sepenuh masa kerana rata-rata ahli MHG bekerja dan melakukan perkara ini (kajian relik perang) atas faktor minat bagi memulihara sebahagian daripada khazanah sejarah negara," ujarnya.

MHG merupakan satu-satunya kumpulan penyelidik bebas di negara ini yang memfokus tentang arkeologi ketenteraan dan relik perang.

Walaupun kurang dikenali, tetapi hampir 95 peratus data-data berhubung relik perang dan kawasan-kawasan pertempuran di negara ini khususnya semasa Perang Dunia Kedua yang direkodkan mereka tepat.

Kebanyakannya hasil penyelidikan, maklumat lisan dan pertukaran data yang diperoleh daripada veteran perang serta beberapa persatuan serupa di luar negara, khususnya Britain.

Bahkan pencarian pesawat malang Dakota RAF KN630 sebenarnya turut mendapat bantuan mereka yang selama ini berkolaborasi dengan Muzium TD.

Penyelidik Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG) meneliti
bangkai helikopter British yang terhempas di Cameron
Highlands semasa Darurat.
Shahrom memberitahu, sebaik dimaklumkan rancangan misi evakuasi itu, pihaknya giat mengumpulkan data berkaitan pesawat termasuk latar kejadian bagi membantu Muzium Tentera Darat melengkapkan maklumat sedia ada.

"Sedikit sahaja maklumat yang diperoleh daripada kumpulan penyelidik di Britain, jadi misi ini telah berjaya merungkai misteri pesawat Dakota RAF ini termasuk punca kemalangan sehingga mengorbankan krunya.

"Walaupun kami bukannya jurutera atau pakar penerbangan, tetapi kami memperoleh maklumat daripada rakan-rakan di luar negara termasuk veteran perang RAF dan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri.

"Misalnya, dalam kes Dakota KN630 ini, hasil tinjauan terhadap fizikal pesawat merumuskan masalah enjin punca ia terhempas di Kampung Penchong Gua Musang, 58 tahun lalu.

"Ini kerana keadaan kipas pesawat yang dalam kedudukan lurus menunjukkan ia berputar perlahan sebelum terhempas akibat enjinnya hilang upaya semasa terbang," jelas Shahrom.

Katanya, faktor ini disokong dengan keadaan muka bumi kawasan persekitaran berbukit.

Shahrom Ahmad di ekor pesawat yang dibuat kajian.
Ini kerana pesawat terhempas di kawasan lembah. Beliau yakin pesawat itu terbang terlalu rendah menyebabkan juruterbangnya cuba memacu sepenuh tenaga pada enjin tetapi gagal lalu melanggar kawasan permatang di situ.

"Mengikut rekod penyelidik sejarah peperangan di Britain, Dakota KN630 sedang melakukan operasi menanda kawasan yang disyaki kedudukan komunis di sekitar hutan tebal Galas di sini.

"Setelah kru melepaskan cahaya suaran ke kawasan yang dikenal pasti, ia akan dimusnahkan oleh pesawat pengebom yang terbang berhampiran.

"Malangnya, dalam misi ini juruterbangnya gagal memacu pesawat untuk melepasi kawasan tinggi apabila enjinnya hilang kuasa, membuatkan sayap pesawat tidak dapat menampung beban semasa terbang lalu terjunam," jelasnya.

Mengakui lokasi Dakota KN630 antara yang sukar ditembusi, Shahrom yang berpengalaman selama sedekad dalam penyelidikan relik perang memberitahu, hujan lebat melambatkan proses evakuasi.

" Pasukan evakuasi sukar untuk masuk ke lokasi pesawat malang itu yang terletak dua jam perjalanan dari Kampung Penchong, tapi perasaan benar-benar teruja apabila tiba ke lokasi pencarian.

"Sebahagian daripada bangkai pesawat ditemui dalam keadaan baik, tetapi beberapa bahagian penting lain seperti muncung hadapan pesawat hilang dipercayai dibawa arus sungai.

"Hanya separuh bahagian sayap dan ekor yang ditemui, dengan bahagian paling besar adalah sayap kanan dan bahagian ekor sepanjang 10 meter.

Menurut Shaharom lagi, misi evakuasi itu merupakan satu kejayaan besar bagi semua pihak yang terbabit khususnya Kementerian Pertahanan dengan Kementerian Pertahanan Britain bagi menjana sejarah warisan ketenteraan negara.

"Setelah dikenal pasti, MHG berharap agar mangsa-mangsa krew pesawat Dakota ini disemadikan di Tanah Perkuburan Tentera Komanwel di Cheras sebagai penghormatan," ujarnya.

Maklumat pesawat Douglas Dakota


Panjang : 19.43m
Lebar sayap : 29.11m
Tinggi : 5.18m
Berat maksimum semasa berlepas : 14,000kg
Enjin : 2 x enjin radial Pratt & Whitney Twin Wasp; 1,400hp setiap satu
Kelajuan maksima : 360kmj
Jarak penerbangan : 2,600km
Krew : 3
Kapasiti penumpang : 28
Had kargo : 2,700kg / 3,700kg (perang)

sumber

No comments: