Tali Gantung


Kematian bukanlah sebuah cerita hiburan yang boleh dibuat permainan seumpama permainan video, bola jaring atau bola sepak yang boleh bergelak ketawa.

Mati, bukan semua orang mahu bercerita tentangnya. Kalau berceritakan tentangnya, ramai pula mahu melarikan diri. Ada sesetengahnya sanggup menafikan perihal mati dan mengelak daripada menerima hakikat tentang kematian.

Tidak kurang pula sesetengah dari kita berlagak seolah-olah sudah cukup sedia dengan kematian. Mereka bolehlah bersikap angkuh, selagi mana ajal belum menyapa, sebelum malaikat datang menjemput untuk kembali.

Apakah mungkin seseorang teman itu dapat melindungi kita daripada kesakitan dan ajal maut. Sedangkan kita yang dijengah oleh demam itu atau ditenggelami batuk selesema tadi; walhal sedang ibu kita pula begitu asyik berdengkur di sebelah, atau isteri atau suami yang bergolek sebantal dengan kita; mereka tidak mampu menangkis penyakit yang melewati itu.

Bahkan adakalanya mereka sendiri berasa takut dengan penyakit tadi. Mereka tidak dapat melindungi tubuh kita dengan cara menjadikan diri mereka sebagai perisai. Inikan pula penyakit sakaratul maut, yang tiada siapa mampu menggugat kerja-kerja malaikat itu.

Bayangkan hari ini anda tidur seorang diri. Di dalam bilik kecil dan dilengkapi oleh kipas angin.

Tiba-tiba anda batuk terkokol-kokol sendirian. Kemudian sesak nafas sendirian. Apakah yang mampu anda lakukan ketika sendirian. Mampukah anda menangkis penyakit itu dengan tangan anda?

Ataupun sekirannya di sebelah anda ada isteri yang cantik, atau suami yang gagah perkasa, tiba-tiba dada anda berasa sesak, terasa sungguh sempit.

Apakah yang terdaya orang di sebelah itu membantu anda dari dihindari wabak tersebut?

Hidup sendirian atau tidur ditemani juga tidak dapat menjamin anda akan terselamat.

Tetapi siapakah yang mampu menyelamatkan anda? Yang menjadi hero? Dia yang boleh memberikan kelegaan dan kesenangan ketika menghadapi kesusahan?

Lain tidak bukan Dialah yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Allah Maha Pemberi ini tidak akan membiarkan kekasih-Nya dalam kesusahan yang berpanjangan.

Dia Maha Berkuasa akan sahaja memberikan manfaat di dalam apa jua keadaannya kepada si kekasih itu.

Tetapi bagaimana kita hendak mendapati kesenangan sedangkan kita tidak ikhlas kepada-Nya. Tidak mahu redha dengan-Nya. Dia Tuhan Yang Esa.

Banduan Akhir

Penjara Kajang, mereka yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhi hukuman gantung akan ditempatkan di dalam sel kurungan seorang diri dan bangunan yang menempatkan mereka dipanggil Blok Abadi. Mereka akan dipakaikan pakaian yang bertanda BA yang membawa maksud Banduan Akhir.

Banduan ini akan dipanggil sebagai Banduan Akhir. Mereka akan ditempatkan di Blok Abadi selama 23 jam sehari di dalam sel kurungan.

Sekiranya ada hal yang lain dan perlu meninggalkan sel atau blok tersebut, mereka hanya boleh keluar dari situ dengan kebenaran Pegawai Penjara dan diiringi Pengawal Penjara dengan ketat.

Tinggalah mereka di situ sehingga hari perlaksanaan hukuman tiba. Di sini mereka akan mengira setiap hari, masa, jam, detik, dan saat hinggalah ke akhirnya. Tinggal sendirian tanpa berteman dan sel yang berasingan.

Sekali sekala mereka akan dibenarkan bergaul dengan Banduan Akhir yang lain. Itu pun dalam waktu yang terhad. Selebihnya hanya terus bersendirian; menanti dan terus menanti.

Menunggu Keputusan

Sebaik dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi, mereka akan ditempatkan di sel tersebut sehinggalah segala proses rayuan di Mahkamah Persekutuan diputuskan. Proses ini akan memakan masa yang lama. Biasanya bertahun-tahun.

Banduan Akhir akan ditempatkan di suatu tempat yang berasingan daripada penghuni penjara yang lain.

Blok Abadi itu sunyi dan terpisah. Tiada apa yang istimewa di situ. Tiada radio, tiada tv. Hanya sehelai sejadah, kupiah dan beberapa keping kitab sebagai peneman diri.

Adakalanya mereka akan diberikan kuliah agama. Hari demi hari kebanyakan daripada mereka akan hanyut dengan doa dan berendam air mata meminta ehsan dan kasihan daripada Tuhan Rabul Alamin.

Ibu, ayah, isteri dan anak tidak terlepas daripada padangan mata. Sunyi, gelap dan dingin di dalam sel itu sukar hendak digambarkan. Hati adakalanya cukup gusar, cukup takut, cukup insaf tapi apa kan daya…

Di rumah, kaum keluarga tidak terlepas daripada terus menerus mengharapkan sesuatu yang ajaib berlaku. Sesuatu keramat yang dapat mengubah nasib si anak lalu terselamat daripada tali gantung. Ibu yang tua dan ayah yang uzur tidak putus-putus memohon dan berusaha agar si anak dapat peluang kali kedua.

Kini Mahkamah Persekutuan menjadi kata pemutus. Kata-kata Mahkamah Persekutuan menjadi kata muktamad sama ada untuk hidup atau pergi buat ‘selama-lamanya’.

“DAMM!!! Damm!!! Dammm!!!” Bunyi tukul penjatuh hukum Yang Arif, Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Dengan ini, kami Mahkamah Persekutuan mendapati kamu bersalah dan mengekalkan hukuman; gantung mandatori … Damm!!! Damm!!! Dammm!!” sekali lagi tukul muktamad itu diketuk menandakan dunia sudah menjadi
gelap.

Malang tidak berbau, dosa yang pernah dilakukan tidak dapat diampun melainkan hukuman ke tali gantung menjadi penebus dosa.

Tiada peluang lagi buat si Banduan Akhir untuk meneruskan hidup lebih lama lagi. Segala-galanya sudah diputuskan. Saat penantian sudah kabur. Hanya menantikan bilakah riwayat ini akan ditamatkan.

Langkah terus menjadi longlai. Tiada lagi kata yang mampu mengungkapkan segala yang terasa. Takut, resah, bersalah, kasihan, cinta segalanya berbalam, berkecamuk.

Apa yang terbayang adalah seraut wajah ibu.

“Ya! Ibu.. di manakah ibuku … Aku mahu sembah sujud kepadamu … Ampunkanlah dosa-dosa anakmu ini yang telah mempersiakan hidupnya…”

“Ya isteriku! dimanakah dikau sayang. Ampunkan dosa abang sayang… abang gagal dalam hidup ini.. “

“Ya! Anak ku…. ayah gagal.. dan jadikanlah peristiwa ini sebagai pengajaran
buatmu. Janganlah kau memperlakukan kesilapan dan mempersiakan hidupmu…”


“Aduhai! Ya! Allah… bersihkanlah dosa ku… bersihkanlah jiawaku… ampunkanlah aku…”


Tali gantung

Para pegawai akan menyiapkan tali gantung yang akan menjerut bantang leher Banduan Akhir itu.

Tali ini diimport khas dan diperbuat daripada jenis jut yang paling bagus. Ia
dibaluti dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan apabila
digunakan nanti.

Setiap satu tali itu berharga RM4,000 hingga RM5,000 seutas.

Sebaik menerima tali maut, para pegawai akan menguji ketahanannya terlebih
dahulu dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam.

Setiap tali itu ada nombor siri dan diklasifikasikan sebagai senjata. Ia disimpan di dalam peti besi.

Hanya tali gantung yang sesuai akan digunakan ke atas Banduan Akhir mengikut saiz badan, tinggi dan berat si Banduan Akhir.

Faktor utama tali gantung ialah pada tembaga pembunuh. Ia berfungsi
untuk mematahkan tengkok banduan, lalu mematikan mangsanya dengan segera.

Hukuman dijalankan

Setelah Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman yang mana di dalam waran tersebut disebutkan nama banduan, nombor kad pengenalan, serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

Para pegawai penjara diberikan satu jam untuk melaksanakan hukuman tersebut. Bagi mereka yang Muslim, mereka akan digantung pada pagi Jumaat selepas solat Subuh. Bukan Muslim pula masa dijalankan hukuman adalah lebih
kurang sama cuma harinya boleh berbeza.

Selepas waran dikeluarkan, Banduan Akhir akan dibawa berjumpa dengan Pegarah Penjara yang akan memaklumkan tentang perlaksanaan hukuman gantung itu.

Kebiasaannya Banduan Akhir akan tahu apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat. Dia dapat merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku ke atasnya pada keesokkan harinya.

Semasa Banduan Akhir berada di bilik Pengarah Penjara, kaum keluarga yang lazimnya sudah dimaklumkan seminggu awal sudah menunggu di luar untuk “Perjumpaan Terakhir”“.

Suasana pilu, sedih, sayu dan tidak kurang juga pasrah memenuhi ruang suasana. Bayangkan perasaan emak, ayah, isteri, anak-anak yang kecil dan mogel itu… Aduhaiiiiii…

Pada hari yang sama juga, Banduan Akhir ini diberikan pilihan untuk “hidangan
terakhir” bernilai RM7.50. Hmm apalah yang tersuap ke dalam mulut, kalau tahu esok akan mati!

Pada saat-saat yang hampir ini acapkali meruntun jiwa. Ujian amat hebat. Di sinilah menguji kita sama ada ‘pergi’ dengan rela menemui Tuhan atau sebaliknya.

Terdapat juga banduan yang berasa puas hati dan memberitahu nasib mereka lebih baik dari kita yang bebas ini. Ini kerana mereka sudah tahu bila masanya mereka akan mati. Ada antara mereka menyatakan, mereka tidak tahan lagi menunggu detik-detik mati.

Banduan Akhir akan ditempatkan disebuah sel yang berhampiran dengan tempat hukuman akan dijalankan. Bilik menanti ini dipanggil “Bilik Akhir”. Di situ sekali lagi dia akan tinggal bersendirian; semalaman.

Di hari Banduan Akhir diberitahu hukuman akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk wasiat dan nasihat terakhir.

Pelbagai nasihat yang dilontarkan tetapi tidak menjadi. Kalam selalunya berakhir dengan kata-kata..”Wahai anak, jangan turuti jejak ayah.”

Di sinilah pada malam hari sebelum digantung. Ketika inilah barangkali Banduan Akhir ini benar-benar memahami nilai sabda Rasulullah s.a.w.

“Bekerjalah kamu seolah-olah kamu hidup selama 1,000 tahun lagi. Dan beramal ibadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati pada keesokan harinya”.

Ketika ini tiada siapa yang mampu melelapkan mata. Masa yang sekelumit akan
dipergunakan sepenuhnya. Saat yang ada betul-betul dihargai.

Mengigil, mengeletar, gelisah, resah, takut, perit, dan sebagainya menjadi sapaan dan terjahan yang mengganas.

Tapi masih juga terjelepuk di atas tikar sejadah. Masih mengharapkan keampunan, keredhaan dan kematian yang diredhai; yang bersih, pulus dan putih.

Sebaik azan subuh dilaungkan di corong-corong pembesar suara. Semakin kemaruk rasa di hati.

Namun diri tetap digagahi untuk menganggkat takbiratul ihram buat yang terakhir. Lutut mula rasai longgar. Subuh terakhir dirasakan cukup hening, bening dan dingin sekali.

Selesai salam diberikan. Kini menanti salam daripada petugas yang datang tinggal beberapa detik lagi.

Sambil masa terus berlalu, hati terus berdebar-debar. Jantung masih berdegup tapi agak luar biasa sendikit. Kaki mulai semakin seram sejuk. Di saat yang ada tangan tetap di tadahkan. Mohon ketenangan yang abadi.

Tiba-tiba terdengar derapan kaki berjalan. Semakin jelas dan kian jelas menghampiri geriji besi yang menjadi pemisah antara dunia hakiki dan dunia fana.

Saat akhir

“Assalamualaikum… masa sudah sampai… dan maafkan saya.” Kata petugas
itu.

Berderau darah tersirap, mengalir tanpa karuan. Jantung seolah-olah terhenti. Walhal dari tadi, saat inilah yang dinanti-nantikan.

Sebaik tersedar dari terpana, jiwa mula sedar dan berkata “Oh! aku masih bernyawa lagi. Jantungku masih berdegup dan berfungsi. MASYA-ALLAH… bagaimana harusku hadapi detik ini. Tabahkanlah hati dan jiwaku. Ya! Allah semadikanlah roh aku nanti di kalangan roh-roh yang mendapat rahmat-Mu”…

Sebaik pagar di buka, Banduan Akhir menghulurkan tangan untuk bersalam dengan petugas yang ada sebelum digari ke belakang.

“Banyakkan bersabar dan bertaubat. Sekarang mengucaplah di sepanjang perjalannan ini..” pesan imam yang selalu datang memberikan kuliah.

Sejak akhir-akhir ini dan di sebelah siang tadi kerap pula imam menjenguk. Kata-kata nasihatnya dijadikan tanda ingatan.

Sekarang terserah kepada Allah.

“Assahadualla ila hailallah wa asshaduan namuhammadarasullah” sebaik hendak habis mengucap terus sahaja kepala diserkup dengan kain karung hitam.

Masa itu juga kaki menjadi longlai, lutut menjadi begitu longgar. Badan menggigil, bergoncangan kuat. Mengeletar menantikan saat untuk digantung dan nyawa direntap mati. Setiap detik berlalu dirasakan terlalu menekan - terasa lama dan kadang-kadang terlalu kejap.

Bukan tidak tahu atau bersedia lagi. Tetapi segala kekuatan itu hilang begitu sahaja; tidak berdaya, lemah dan luluh segalanya.

Banduan Akhir yang gagah, berbadan tegap sudah tidak ampuh untuk berdiri lagi. Namun ada Banduan Akhir kuat semangat, cekal hati; cukup gagah, berani dan segak melangkah.

Namun sebaik diserkup dengan kain hitam keramat itu, kakinya agak sedikit kekok. Tetapi tetap juga tidak mahu mengalah dan terus melangkah ke bilik hukuman; begitu cekal.

Bagi mereka yang longlai itu akan diangkat ke bilik hukuman dengan segera.

Jarak Bilik Akhir dan bilik hukuman tidak jauh. Hanya dipisahkan sedikit ruang dan sudut sahaja.

Semua pihak termasuk Pengarah Penjara, Doktor dan beberapa orang saksi yang lain sudah siap sedia menunggu di dalam bilik hukuman. Hukuman akan hanya dijalankan setelah Pengarah Penjara dan Doktor berpuas hati keadaan banduan pada hari hukuman dijalankan dan segala prosedur dipatuhi dengan ketat.

Banduan Akhir akan dibawa terus memasuki ke bilik hukuman. Banduan Akhir akan terus ditempatkan di bawah tali gantung. Banduan Akhir akan memijak Pintu Perangkap Renggang dan berdiri di situ.

Sepanjang proses kendalian hukuman itu dilakukan oleh dua orang tukang gantung.

Seorang petugas akan memasukkan tali gantung ke leher Banduan Akhir. Manakala seorang lagi akan mengikat kaki Banduan Akhir dengan kemas.

Sebaik semuanya sudah bersedia, kini petugas yang mengikat tali di kaki itu akan pergi ke picu untuk menarik Pintu Perangkap Renggang terbuka. Dia menanti isyarat daripada Pengarah Penjara.

Sejurus Pengarah Penjara berpuas hati dan memberi isyarat pelaksanaan hukuman, picu itu akan ditarik serta merta dan Pintu Perangkap Renggang akan terbuka. Ketika ini tiada siapa yang berdaya berbuat apa-apa. Hanya berserah kepada Takdir Allah s.w.t.

Sebaik Pintu Perangkap Renggang dibuka, Banduan Akhir akan langsung tergantung. Tubuhnya akan terjun menjunam diruang kosong di bawah tapak kakinya sedalam 5.8 meter. Tengkoknya akan patah dan leher akan tercekik. Lantaran itu berakhirlah hayat seorang manusia di situ.

Prosess ini berlaku selama kira-kira 15 saat, bermula dari banduan itu keluar selnya hinggalah hukuman dijalankan.

Banduan akan mati dalam masa 30 saat hingga 1minit. Banduan tadi akan diturunkan, kemudian diletakkan di atas troli selepas setengah jam dibiarkan tergantung di situ.

Kemudian doktor akan datang dan memeriksa sekali lagi bagi pegesahan. Setelah yakin segalanya beres, mayat akan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Troli mayat akan ditolak terus masuk ke dalam ambulan yang sudah sedia menanti di situ sejak dari tadi. Setelah mayat dimasukan ke dalam perut ambulan itu, ia mula bergerak ke pintu keluar penjara.

Di saat ini pintu keluar akan dibuka bersama mayat tadi untuk dibawa ke hospital. Sanak saudara yang menanti di luar pagar hanya sempat berteriak dan menitiskan airmata tanda kasih, tanda sayang, tanda rindu yang tidak terperi bakal menjelma.

Setelah beberapa meter dari pintu itu, siren ambulan akan berbunyi memecah pagi hari. Manusia di sekeliling yang faham akan mengetahui, seorang lagi hamba Allah telah kembali ke Rahmatullah. Manakala yang lain hanya terus khusyuk dengan kerja sendiri, tidak menghiraukan keriuhan ambulan yang sarat membawa mayat insan.

*************************

Bayangkan jika anda menghadapi suasana seperti itu. Bayangkan saat-saat kesakitan sakaratul maut dalam masa 30 saat ke 1 minit itu. Bayangkan anda yang tergantung-gantung di situ. Masyallah Allahhhhh!..

Bayangkan jika malaikat maut datang menyapa anda sebentar lagi. Sudahkah anda bersedia sabagaimana si Banduan Akhir ini? Sempatkah anda bertaubat dan mengingati Tuhan? Sempatkah anda meninggalkan wasiat dan nasihat?!

Tetapi kenapa hati ini begitu degil. Masih merapu dan tidak mahu redha dengan Allah. Acapkali pula berjanji dan kerap kali juga mungkiri kepada Allah.

Dimanakah ibu kita sekarang ini berada? Di manakah Ayah kita berada? Sempatkah kita menjenguk mereka di saat malaikat izrael datang memanggil? Sempatkah kita meminta ampun kepada isteri dan suami? Apakah yang anda tinggalkan di dunia ini?

“Ya! Allah aku bermohon perlindungan dari-Mu. Limpahkalah rahmatmu ke atas
ku. Dan janganlah kau pisahkan aku daripada orang-orang yang kau cintai”

4 comments:

gabanMorka said...

urgh...takot sial baca entry ni. jangan lah aku mati di tali gantung

LOkMan HakIM said...

sungguh menginsafkan...
terima kasih saudara kerana telah menginsafkan saya..

gorgy fanaa said...

astagfirullahalazim...nauzubillah mati di tali gantung.. perigatan buad hamba-hamba yang lemah dan seringkali melakukan dosa ini...

gorgy fanaa said...

astagfirullahalazim...nauzubillah mati di tali gantung.. perigatan buad hamba-hamba yang lemah dan seringkali melakukan dosa ini...