Awas Nafsu!




Di sini ingin saya kongsikan sedikit info dan pengetahuan yang mungkin kita sudah biasa mendengarnya. Saya ingin membangkitkan semula perkara ini yang saban hari dilupakan oleh kita semua di kala sibuk memerangi musuh yang zahir. Iaitu tentang nafsu. Nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai. Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan, hanya sedikit sekali.

Tanpa kita sedari, kehidupan kita sehari-harian banyak didorong oleh nafsu jahat daripada iman dan akal. Tetapi tidak semua nafsu jahat, kerana nafsu itu ada peringkat2nya yang telah disusun oleh para ulama’ yang diambil rujukannya daripada kitab suci al-Quran yang mulia. Saya meletakkan nota ini sebagai muhasabah serta peringatan kepada kita bersama dalam menghadapi kehidupan kita seharian.

Peringkat-peringkat nafsu

Ulama Tasawuf membahagikan nafsu kepada beberapa peringkat. Ada yang membahagikan kepada 7 bahagian, 4 bahagian dan 3 bahagian. Antara peringkat-peringkat nafsu dan ciri-cirinya ialah:

1. Nafsu Ammarah

Ammarah ertinya sangat mengajak kepada kejahatan. Ini adalah tahap nafsu yang paling jahat dan hina. Firman Allah yang bererti: “..sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan,” (Surah Yusuf 12:53)

Orang yang bernafsu amarah ialah orang yang berbangga melakukan maksiat dan kemungkaran. Dia berasa seronok
dengan maksiat. Bahkan dia mengajak orang lain dengan mempromosikan kemungkaran dan kemaksiatan, malah berusaha melahirkan ‘pewaris’ yang boleh meneruskan kemungkaran itu.

Jika ada orang yang mengajak kebaikan, dia akan menentangnya. Begitu juga jika ada program kebaikan, dia akan menentangnya juga. Jika ada orang yang menegur mereka, orang itu akan dimusuhi dan ditentang. Orang yang bertahap nafsu amarah ini juga sering menjadi ‘batu api’ yang melaga-lagakan agar umat Islam tidak bersatu, nauzubillah. Jika tidak bertaubat, mereka akan merasai neraka di dunia(tidak tenang dan bahagia di dunia) dan akan dicampakkan ke neraka kelak.

2. Nafsu Lawwamah

Lawwamah ertinya nafsu yang mencela. Orang yang mempunyai nafsu lawwamah menyedari dia sering terlibat dengan dosa. Ia menyesali dosa-dosa itu dan mencela dirinya. Firman Allah yang bererti: “Aku bersumpah dengan nafsu yang amat mencela kejahatan.” (Surah al-Qiyamah 75:2)

Namun ketika berbuat dosa, ia terleka dan terbuai dengan kenikmatan dosa itu tanpa memikirkan akibatnya. Hanya setelah selesai melakukannya barulah timbul penyesalan. Sungguhpun begitu, keadaan itu tidak lama, ia akan kembali berdosa semula apabila ada godaan dan hasutan.

Apabila melakukan ketaatan, orang yang mempunyai nafsu lawwamah ini mudah dihinggapi rasa riyak(menunjuk-nunjuk) dan ujub(bangga diri). Dirasakan dirinya sudah baik di sisi Allah. Dia ‘perasan’ dengan kebaikannya.

Tetapi berbeza dengan orang yang bernafsu amarah, mereka yang bernafsu lawwamah ini tidak berasa bangga dengan dosa dan tidak pula mengajak orang lain melakukan dosa bersamanya. Mereka ini juga mudah ditegur. Pada masa yang sama mereka sangat suka kepada majlis-majlis ilmu dan majlis agama. Hatinya mudah cair dengan tazkirah. Cuma sangat rapuh apabila digoda dengan perkara maksiat.

Jadi, orang yang bernafsu lawwamah ini masih tidak selamat, di dunia mahupun akhirat.

3. Nafsu Mulhamah

Orang yang mempunyai nafsu mulhamah sudah mula mendapat ilham kebaikan dalam hatinya. Ada bisikan kebaikan dalam dirinya untuk berusaha lebih gigih ke arah menjadi insan yang lebih baik. Firman Allah yang bererti: “Diilhamkan kepada diri akan kejahatan dan juga ketaqwaan.” (Surah al-Shams 91:8)

Orang yang berada di tahap ini sudah mampu meninggalkan tahap nafsu lawwamah. Dia mula menghisab dan menyuluh diri lalu berusaha melakukan kebaikan. Dia tidak lagi mencari ruang dan peluang untuk melakukan dosa Cuma ada masanya dia terlanjur juga melakukannya kerana kelalaiannya. Itu pun kerana dia tidak sengaja.

Sebagai penyelesaiannya dia bukan sahaja mencari jalan untuk memperbaiki dirinya, dia juga berusaha menutup peluang untuk terjebak dalam perbuatan maksiat. Kawan dan suasana serta keadaan yang boleh membawa kepada dosa dihindarinya, walau bagaimanapun nafsunya belum stabil.

4. Nafsu Mutmainnah

Inilah nafsu yang diperoleh seseorang hasil mujahadah melawan nafsu dan riadah al-nafs(latihan diri) secara istiqamah. Hatinya sudah tenang kerana nafsunya telah berjaya dijinakkan. Dia bukan sahaja seronok melakukan ketaatan tetapi indah ketika meninggalkan kejahatan. Apa sahaja ujian Allah sama ada nikmat atau musibah mampu dihadapinya dengan sabar dan redha.

Allah redha terhadap mereka seperti mana mereka redha terhadap Allah. Inilah tahap nafsu orang yang bertaqwa. Mereka menikmati al-jannah al-ajilah(syurga dunia yang berupa ketenangan dan kebahagiaan hidup) dan di akhirat mereka diseru untuk kembali kepada Allah menjadi penghuni syurga yang kekal abadi. Firman Allah yang bererti: “Wahai nafsu yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan gembira dan menggembirakan” (Surah al-Fajr 89:27)

Inilah peringkat nafsu yang dimiliki oleh para salafus-soleh yang menyebabkan mereka bukan sahaja berjaya mengalahkan musuh zahir(munafik, Yahudi dan Nasrani) malah musuh batin(syaitan dan hawa nafsu) juga dapat ditewaskan.

wallahu a'lam..
sama2lah kita renungkan dan muhasabah diri kita kembali..
wassalam.. 

No comments: