Menanti Malam Agung

MALAM Lailatul Qadar adalah malam penuh keistimewaan yang hanya berlaku pada Ramadan setiap tahun. Pada malam tersebut Allah menganugerahkan keberkatan, kemuliaan, rahmat dan kesejahteraan khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w.

Bagi umat Islam yang berpuasa dan berusaha mencari keistimewaan malam Lailatul Qadar dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam Al-Qadar. Tahukah kamu apakah malam Al-Qadar itu? Malam yang lebih baik daripada seribu bulan, turunnya malaikat dan roh (Malaikat Jibril) pada malam itu dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan, malam itu penuh selamat sejahtera hingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadar 1-5) Walaupun ayat ini diturunkan, namun Allah tidak menerangkan secara terperinci waktu kedatangan Lailatul Qadar. Umat Islam digalakkan supaya sentiasa memperbanyak amalan salih terutama pada sepuluh malam terakhir. Dijelaskan nilai keutamaan yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu apabila tibanya Lailatul Qadar. Mencari keistimewaan Lailatul Qadar mestilah bermula daripada awal pertama puasa sehinggalah ke malam sepuluh terakhir Ramadan.

Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sabda baginda: “(Iaitu) ada pada Ramadan, oleh itu, hendaklah kamu mencarinya pada 10 hari terakhir. Disebabkan ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23 atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29 serta pada malam terakhirnya.” (Riwayat Ahmad) Dalam memberi pengertian Al-Qadar, ulama dan ahli tafsir mempunyai pendapat berbeza, antaranya ialah menurut Az-Zuhri, Al-Qadar bererti keagungan, kebesaran, kemuliaan atau kedudukan. Sementara menurut Sayyid Qutb dalam Tafsir Zilalil Quran bahawa Al-Qadar bererti takdir, ketentuan, ketetapan atau nilai.


Menurut pandangan dan pendapat Prof Dr T M Hasbi As-Siddiqiy memberikan erti Lailatul Qadar sebagai malam penuh berkat yang mempunyai keistimewaan, malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bahkan seumur hidup manusia.


Dalam hal ini, Drs Hanafi Mohammad menjelaskan, dalam bukunya Keistimewaan Malam Lailatul Qadar, sesungguhnya malam Lailatul Qadar ada rahsia Allah yang dapat disimpulkan sebagai malam perhubungan mutlak antara langit dan bumi dengan ketentuan Allah. Malam Lailatul Qadar juga terjadi suatu peristiwa besar yang belum diperlihatkan oleh bumi dari segi dalil, keagungan dan kesannya terhadap kehidupan manusia.


Pada malam Lailatul Qadar dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah yang menjadi rahmat besar daripada Allah untuk dianugerahkan kepada manusia.


Seterusnya, malam Lailatul Qadar adalah suatu malam agung, tidak dapat dijangkau oleh kemampuan berfikir manusia yang amat terbatas untuk mencapainya.


Keistimewaan malam Lailatul Qadar ini, Allah menurunkan al-Quran pertama kali kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibrail a.s. Melalui wahyu itulah Nabi Muhammad diangkat Allah menjadi Rasul seperti firman-Nya: “Ramadan, bulan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara yang hak dan batil.” (Al-Baqarah: 185) Pada malam tersebut juga turunnya malaikat membawa rahmat daripada Allah. Pada malam berkenaan Allah memberi penghormatan, kerahmatan dan kesejahteraan kepada hamba-Nya sampai terbitnya fajar. Orang Islam daripada umat Nabi Muhammad akan memperoleh keampunan dosa daripada Allah, memperoleh rahmat yang besar daripada Allah, memperoleh balasan syurga daripada Allah dan mendapat pujian, kasih sayang, ampunan dan kemuliaan.


Bagi mendapatkannya hendaklah menghidupkan malam dengan beribadat kepada Allah iaitu mendirikan solat malam, berdoa, berzikir, bertadarus dan membaca al-Quran. Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Aisyah r.a. katanya: “Adalah Rasulullah bersungguh- sungguh beribadat pada malam yang akhir, apa yang tidak dilakukannya pada puluhan malam yang lain.” (Riwayat Muslim) Membangunkan ahli keluarga menjelang sepuluh malam terakhir untuk mengerjakan solat malam seperti dilakukan Rasulullah dengan membangunkan keluarganya. Nabi mengikat tali pinggangnya yang bermaksud tidak melakukan persetubuhan dengan isterinya dan sentiasa beriktikaf pada sepuluh malam terakhir.


Oleh sebab kemungkinan datangnya malam Lailatul Qadar itu adalah pada salah satu daripada malam yang akhir, maka dianjurkan untuk mandi antara Maghrib dan Isyak, kemudian memakai pakaian bersih dan indah. Memperbanyakkan beriktikaf dalam masjid pada sepuluh malam akhir Ramadan.


Jelaslah, tiada malam yang dapat menandingi kelebihan dan kehebatan malam Lailatul Qadar. Oleh itu, berusahalah untuk mendapatkannya dengan memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah. Walau bagaimanapun, keseluruhan Ramadan adalah bulan sangat istimewa yang belum tentu kita dapat merebut peluang beribadat pada tahun akan datang.