Nostalgia : Tragedi Highland Towers (11 Disember 1993) - Bahagian 1

Tragedi Highland Towers 
Calitan nestapa negara
Oleh Nasron Sira Rahim


Peristiwa terburuk dalam sejarah industri pembinaan Malaysia tercatat pada 11 Disember 1993.


LELAKI itu tergamam melihat apa yang berlaku di hadapannya! Mulutnya ternganga tanpa mampu mengeluarkan sebarang suara. Badannya menggigil ketakutan.


Kejadian di hadapan matanya sungguh menggemparkan. Bangunan gah di Taman Hillview, Hulu Klang, Selangor; itu tiba-tiba runtuh menyembah bumi.


Dia menelan air liur mengenangkan keadaan manusia yang mungkin berada dalam pangsapuri Highland Towers, 12 tingkat itu runtuh.


Jam menunjukkan sekitar 1.35 petang ketika dia berasa gegaran kuat persis gempa bumi. Sejurus kemudian dilihatnya Blok A, pangsapuri Highland Towers itu runtuh selepas 14 tahun berdiri megah.


Kejadian 11 Disember 1993 itu menggemparkan seluruh negara dan mencatat sejarah terburuk dalam industri pembinaan Malaysia.


Sebaik kejadian, kawasan runtuhan dipenuhi pelbagai pihak berkuasa untuk menjalankan operasi menyelamat. Sebahagian besar penghuni adalah rakyat asing yang bekerja di negara ini. Antara yang terperangkap dalam runtuhan pangsapuri 50 unit itu ialah anak bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Musa Hitam, Carlos Musa dan isteri.


Media massa turut memenuhi kawasan lokasi kejadian untuk melaporkan tragedi terburuk dalam sejarah negara itu.


Bilik gerakan ditubuhkan petang itu dan pasukan mencari dan menyelamat mangsa digerakkan segera. Ratusan anggota polis, bomba dan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikejarkan ke tempat kejadian.


Beberapa jam kemudian 124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kira-kira 30 anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment dan Kem Wardieburn dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu.


Dua helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu sebuah Nuri dan sebuah Alouette turut membantu usaha menyelamat.






Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat tidak semudah yang disangka. Kerutan di dahi petugas membayangkan kesukaran berikutan sebahagian bangunan itu terbenam dalam tanah. Pasukan penyelamat tidak dapat memasuki bangunan runtuh kerana mangsa tertimbus di bawah timbunan konkrit bangunan.


Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad; Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri kabinet bergegas melawat tempat kejadian.


Operasi berterusan dilakukan menyeluruh dan kira-kira jam 4.30 petang, pasukan menyelamat mendengar jeritan seorang wanita dan tangisan bayi dari bawah runtuhan itu.


Apabila melihat sebatang kayu dijolok keluar dari runtuhan berkenaan, mereka bergegas dengan penuh harapan ada mangsa yang selamat. Mereka menjenguk ke dalam lubang rekahan itu dan mendapati seorang wanita mendakap anaknya dan meminta diselamatkan.


Akhirnya mangsa pertama iaitu seorang bayi perempuan berusia 18 bulan, Nur Hamidah Najib, dikeluarkan dari timbunan konkrit diikuti seorang rakyat Jepun, Nakajima Shizue, 50.


Mangsa ketiga iaitu rakyat Indonesia dikenali Umi Rashidah Khoruman, 22 yang juga ibu Nur Hamidah akhirnya berjaya dibawa keluar walaupun menghadapi sedikit kesulitan kerana rekahan runtuhan agak kecil.


Semua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. Mata petugas terus bersinar mengharapkan lebih ramai penghuni terselamat.


Bagaimanapun, kira-kira jam 12 tengah malam, berita sedih diterima apabila wanita rakyat Jepun itu meninggal dunia kira-kira 10 jam selepas diselamatkan.


Hari pertama kejadian dan operasi menyelamat diakhiri dengan berita kematian seorang mangsa, dua terselamat dan puluhan lagi masih hilang di bawah timbunan konkrit.


Hari seterusnya, pasukan mencari dan menyelamat dari Britain dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu diikuti sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi pada 13 Disember. Turut serta pasukan dari Singapura dan Jepun.


Beberapa jam selepas kehadiran anjing pengesan pasukan Perancis itu, mereka mengesan kemungkinan ada mangsa terperangkap masih hidup. Kemahiran anjing pengesan itu turut disokong teknologi pengesan degup jantung Pasukan Penyelamat dan Bantuan Malapetaka (Dart) yang menunjukkan hasil sama.


Tambahan pula ketukan penyelamat dari luar mendapat ketukan balas dari dalam runtuhan sekali gus menyemarakkan semangat pasukan mencari untuk terus menyelamatkan mangsa. Berdasarkan kejadian terperangkap sebelum ini, mangsa biasanya boleh bertahan selama empat hingga lapan hari tanpa makan dan minum.


Pasukan Perancis berjaya menebuk lubang sedalam 4.5 meter dan turun ke dalam sebuah bilik pangsapuri yang runtuh, kira-kira jam 3 pagi. Mereka menjumpai dua katil di dalam bilik itu tetapi tidak mengesan sebarang mangsa dan masih meneruskan usaha mengesan arah bunyi ketukan.


Pasukan penyelamat Jepun turut menggali lubang sedalam 4.5 meter pada satu bahagian lain bangunan itu dan hanya menjumpai sebuah kereta BMW di dalam sebuah ruang.


Berikutan tragedi itu, semua penghuni dua blok pangsapuri berhampiran dan beberapa banglo sekitar kawasan itu diarahkan mengosongkan kediaman mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk.


Dengan penuh harapan, gerakan mencari mangsa diteruskan.



KRONOLOGI: Highland Towers


11 Disember 1993: Pangsapuri Blok A Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang runtuh pada 1.35 petang. Pembantu rumah seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan diselamatkan. Nakajima Shizue, 50, rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu tetapi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12 tengah malam.


12 Disember: Penghuni Blok B dan C Highland Tower di Taman Hillview, Hulu Klang diarah mengosongkan rumah mereka kerana tidak selamat. Pasukan mencari dan menyelamat dari Britian dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu.


13 Disember: Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi. Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri Highland Towers.


15 Disember: Pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak dalam runtuhan itu. Antara yang dijumpai lengan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang. Empat mayat reput itu dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan.


16 Disember: Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar daripada HKL.


17 Disember: Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan penyelamat supaya operasi menyelamat mangsa hidup dihentikan.


18 Disember: Pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak.


19 Disember: Pasukan penyelamat menemui tiga mayat iaitu satu mayat wanita reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta jam 7 malam. Mayat kedua, juga wanita ditemui jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga dipercayai lelaki jam 10.15 malam.


20 Disember: Setakat ini, 25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat 12. Turut ditemui mayat seorang wanita yang memakai sari dan sedang memeluk seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.


21 Disember: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat ditemui daripada runtuhan pangsapuri Highland Towers. Daripada jumlah itu, 37 mayat ditemui sempurna, sembilan bahagian badan dan 10 cebisan anggota iaitu tangan, kaki, kepala serta paha. Jenazah anak lelaki tunggal bekas Perdana Menteri Datuk Musa Hitam, Carlos Rashid dan isteri, Rozita Datuk Abu Bakar, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru.


22 Disember: Operasi mencari dan menyelamat dihentikan.
SUMBER : BERITA HARIAN

2 comments:

zyqa zaqy said...

tragedi ni sangat sangat tragis

Tengku Nizam said...

tragis n sgt tragis, hehe..